Thursday, August 25, 2011

Lailatul qadr.....


Kata orang lihat pada sebelah paginya : tidak sejuk, tidak panas. Tidak terang dan agak redup. Kata yang lain, ada air yang membeku. Tidak ada salakan anjing. Suasana tenang luar biasa. Syahdu dan sayu, dakwa sebahagian yang lain. Ada yang lebih yakin, mengatakan pada malam Jumaat 21 Ramadhan yang lalu. Itu malam ganjil, ditambah pula malam Jumaat. Lantas saya ada menerima SMS, ada sahabat-sahabat yang kesal kerana "terlepas" malam al-Qadar.
Satu SMS menyatakan," Ramai cakap malam tadi (21 Ramadhan) Lailatul Qadar. Saya memang minta sangat nak ketemu dengannya. Tapi malam tadi mengantuk luar biasa.
Rasa rugi kalau terlepas!" Memang rasa kesal akibat terlepas peluang keemasan untuk lebih dekat dengan Allah itu baik. Tetapi jangan terikat dengan al-Qadar, hingga semangat beribadat luntur akibat terlepasnya. Lalu saya balas SMS itu dengan kata, " Jadilah hamba Allah sejati yang beribadah sepanjang masa, di setiap keadaan dan suasana. Jangan jadi "hamba" malam al-Qadar yang beribadah hanya pada malam itu sahaja."



Sayangnya, kita lebih terfokus melihat tanda-tanda mendapat al-Qadar pada alam, pada pokok, air dan lain-lain yang berada di luar diri. Sedangkan tanda mendapat al-Qadar itu ada pada diri sendiri. Bukankah mereka yang bertemu dengan malam al-Qadar amat bertuah kerana doa, taubat dan hajatnya "diangkat" oleh para malaikat lalu dimakbulkan Allah? Jadi, jika seseorang mendapat al-Qadar tentu jiwanya lebih tenang, akhlaknya menjadi lebih baik dan ibadahnya (sama ada habluminallah dan habluminannas) bertambah lebat.
Justeru, tepuk dada dan tanyalah diri sendiri, bagaimana akhlak kita selepas "malam tadi" (malam yang dirasakan malam al-Qadar) apakah sudah berubah, terasa lebih ringan melaksanakan kebaikan dan rasa semakin enggan melakukan kejahatan? Jika ya, ya, kita telah mendapat malam al-Qadar. Bagaimana pula dengan sifat mazmumah – marah, hasad dengki, dendam, penakut, bakhil, cinta dunia, gila puji, riyak, ujub, cinta makan? Apakah semua sifat mazmumah itu semakin kendur, kalau tidak pun lebur sama sekali? Jika jawapannya ya, ya, malam al-Qadar sudah menjadi milik kita!
Malam al-Qadar ialah malam yang paling sibuk laluan ke langit dunia (umpama trafik jam) kerana turunnya pelbagai malaikat yang tidak kira banyaknya. Meriah sungguh sampai terbit fajar. Malaikat turun secara luar biasa banyaknya itu termasuklah yang paling tinggi pangkatnya di kalangan mereka – malaikat Jibrail. Masing-masing ada tugasnya. Pelbagai urusan dilaksanakan oleh mereka.
Salah satu urusan ialah "bertamu dalam hati" orang Islam yang bersih hatinya. Sekali bertamu tetapi kesannya berpanjangan. Impaknya, hati orang yang pernah menjadi tempat singgah malaikat akan berubah. Bisikan para malaikat mula mengambil tempat yang khusus dan menjadi begitu dominan dalam kehidupan seseorang itu. Mulai detik itu bisikan kebaikan (dari malaikat) akan mengatasi bisikan kejahatan (dari Syaitan) dalam hati orang tersebut.
Ya, hidup ini sebenarnya kita lalui antara dua bisikan. Pertama, bisikan "hati kecil" yang suci dan baik. Kedua, bisikan "hati besar" yang kotor dan jahat. Bisikan ini sentiasa berperang dalam hati. Justeru, hati hakikatnya adalah wadah rebutan antara Malaikat dan Syaitan. Antara ilham dan was was. Siapa yang menang, dialah yang akan menakluki hati dan terarahlah hati itu ke arah yang dikehendaki oleh "penakluknya".
Orang yang mendapat malam al-Qadar sungguh bertuah. Hasil mujahadah, doa, taubatnya pada malam berkenaan, malaikat terus bertamu dan mendominasi hatinya. Sejak malam itu suara hati kecilnya akan sentiasa mengatasi hati besarnya. Mujahadahnya akan terbantu. Perjalanannya menuju Allah akan lebih terpimpin dan terjamin. Hatinya menjadi pusat kesucian dan kebaikan, maka lahirlah yang baik-baik sahaja pada tindakan dan percakapan. Mahmudahnya menenggelamkan mazmumah.
Itulah hati orang yang telah mendapat malam al-Qadar. Orang lain mungkin tidak perasan pada awalnya. Ia hanya dapat dirasai oleh orang yang mengalaminya. Rasa tenang, bahagia, lapang dan sejuk. Kemudian sedikit demi sedikit orang lain mula ketara. Ah, dia sudah berubah. Ah, indahnya perilakunya. Subhanallah, dia telah berubah. Apa yang ada dalam hatinya mula terserlah. Dan itulah tanda-tanda malam al-Qadar tahun itu yang paling ketara dan terasa, bukan pada alam dan jagat raya tetapi pada diri manusia makhluk yang paling sempurna.
Semoga malam-malam berbaki ini, kita akan menambah pecutan amal. Tidak kiralah sama ada al-Qadar telah berlalu atau masih menanti detik untuk bertamu. Kita tidak akan menunggu tetapi kita akan memburu. Kita akan terus memburu sekalipun malam ganjil telah tamat dan Ramadhan sudah berakhir. Sampai bila? Sampai bila-bila. Kerana bagi mukmin yang cintakan Allah, setiap malam adalah malam al-Qadar. Al-Qadar boleh datang, boleh pergi, tetapi Penciptanya sentiasa ada, sampai bila-bila. Semoga kita mati, setelah bertemu malam al-Qadar ini (1430 h) atau dalam perjalanan menuju malam al-Qadar nanti.
Persediaan menenemuinya bukan dibuat  semalaman, seharian, mingguan atau bulanan. Tetapi seluruh hayat kita adalah persediaan untuk "menemuinya". Mengapa? Kerana perjuangan membersihkan hati adalah perjuangan sepanjang hayat. Qalbun Salim (hati sejahtera) itu adalah cita-cita abadi kita!
Ya Allah, untuk mengatakan cinta, aku takut berdusta. Untuk mengatakan tidak, aku takut derhaka. Aku hanya insan hina, yang sedang jatuh bangun di jalan berliku menuju-Mu. Bantulah aku, kesihanilah aku, sayangilah aku. Jangan KAU pinggirkan aku wahai Rahman, wahai Rahim.
- Artikel iluvislam.com


Takbir Pada Akhir Ramadhan | iluvislam.com + discover the beauty of islam

kita share sama-sama citer ni...
___________________________________________________________
Walaupun namanya Pak Imam, tugasnya bukan sekadar mengimamkan solat. Dia juga perlu memastikan, sebelum masuk waktu solat, sejadah sudah diatur rapi, mikrofon dan lampu berfungsi dengan baik, manakala jendela dan pintu dibuka.
Sesudah solat, sejadah perlu dilipat semula, mikrofon, lampu dan pintu ditutup manakala jendela dibiarkan terbuka. Itu belum lagi dengan kebersihan dan keceriaan surau, aktiviti harian, jadual menjadi bilal dan pemukul beduk, menyusun atur pembaca Qur'an sepuluh minit sebelum solat dan sebagainya.
Walaupun ada Tok Siak dan ahli jawatankuasa surau yang lain, Pak Imam merasakan dia bertanggungjawab memastikan segala keperluan jemaah lengkap dan sempurna. Dia mahu surau ini menjadi tumpuan jemaah bukan sahaja kerana tazkirahnya, bacaan solatnya, nasihatnya, tegurannya malah keperluan surau itu.
Andai jemaah selesa solat di situ, maka mereka selesa untuk datang lagi dan mengkhabarkan berita yang baik untuk teman mereka, menyarankan agar teman mereka itu berjemaah di situ. Itulah hasrat Pak Imam. Alhamdulillah, hasratnya tercapai dan setiap kali menjadi Imam, jemaah tidak kurang dari tiga saf hatta waktu Subuh sekalipun.
Tetapi mereka semua mahu supaya Pak Imam sendiri yang menjadi Imam, bukan orang lain, kerana tazkirahnya, bacaan solatnya, nasihatnya dan tegurannya yang begitu mengesankan. Pak Imam menasihatkan mereka bahawa dia bukannya gilakan gelaran Imam atau elaun dari kerajaan, tetapi dia perlu melatih orang muda yang baik bacaan dan betul makhrajnya menjadi Imam. Biarlah ada dua tiga orang pelapis supaya mereka ini mendapat bimbingan sepenuhnya dari Pak Imam dan boleh menjadi Imam sebaik-baiknya.
Jemaah akur tetapi memohon supaya jika bukan Pak Imam sendiri menjadi Imam, biarlah tazkirah selepas solat, dia sendiri yang menyampaikannya. Pada Pak Imam, itu bukannya halangan, tetapi seperti solat, tazkirah juga mempunyai jadualnya sendiri. Akhirnya mereka berkompromi. Maka dia berselangseli – andai bukan menyampaikan tazkirah, dia akan mengimamkan solat. Jemaah berpuas hati dan bersyukur.
Menurut Pak Imam, pada tahap usianya ini, dia perlu melatih seramai boleh pelapis dan mencadangkan nama mereka kepada Jabatan Agama untuk menjadi Imam muda. Bukannya dia sudah tak larat menjadi Imam, tetapi eloklah ada yang muda sebagai pelapis. Dia khuatir nanti dia dikuburkan bersama ilmu yang ada di dadanya dan tidak sempat dimanfaatkan bersama. Na'uzubillai min zalik.
Apabila selesai urusan di surau, Pak Imam kembali ke rumah, melihat apa-apa yan patut dikerjakan di kawasan rumahnya yang tidak sebesar mana. Mujurlah ada tempat untuk dia berbakti kepada tanah, maka tidaklah perlu dia membeli sepanjang masa di kedai. Adalah hasilnya untuk dimasak – cili, keledek, pisang, serai, ubi, kunyit, halia, dan beberapa jenis ulam-ulaman.
Pak Imam mempunyai empat orang anak. Alhamdulillah, masing-masing sepasang lelaki dan perempuan. Sudah besar belaka semuanya. Yang sulung menjadi pensyarah di Kolej Islam. Yang kedua dan ketiga masih menuntut. Seorang di Mesir dan seorang lagi di Mahaad Tahfiz. Insya-Allah yang bongsu akan menurut menjadi ahli tahfiz, dengan syarat SPM-nya cemerlang. Yang sulung dan bongsu tinggal bersamanya.
Isteri Pak Imam yang dikahwininya sejak tiga puluh tahun yang lalu merupakan seorang yang taat dan patuh kepadanya. Tetapi pada bulan Ramadhan yang baru berlalu, isterinya mempunyai permintaan pada Pak Imam sedikit pelik dan berbeza. Tak tahulah kenapa dengan dia, meminta agar Pak Imam sering berada di rumah untuk berbuka dan bersahur bersama-sama di rumah, solat jemaah di rumah, berterawikh jemaah di rumah, bertadarus di rumah dan memberi tazkirah di rumah.
Pak Imam hairan. Dia masih ingat lagi kata-kata isterinya empat hari sebelum Ramadhan - cukup-cukuplah awak menjadi Imam setiap solat. Janganlah bulan puasa ini, berbuka dan bersahur di surau, solat jemaah, berterawikh, bertadarus dan memberi tazkirah di surau. Luangkanlah sedikit waktu untuk bersama keluarga. Kami juga ingin merasa berbuka dan bersahur bersama-sama di rumah, solat jemaah di rumah, berterawikh jemaah di rumah, bertadarus di rumah dan mendengar tazkirah di rumah. Berilah peluang kepada yang muda menjadi Imam, jangan diharapkan kepada awak seorang sahaja. Sampai kesudah nanti, mereka tiada peluang untuk belajar.
Pada mulanya Pak Imam terasa satu tamparan lembut hinggap di pipinya. Sesudah tiga puluh tahun berumah tangga dan dua puluh empat tahun menjadi Imam di surau kampung ini, inilah kali pertama isterinya bersuara menyatakan keinginan seperti itu. Sebelum ini dia tidak bersoal banyak apabila ditinggalkan berbuka bersama anak-anak.
Malah selalu juga datang ke surau berbuka bersama dua tiga orang perempuan kampung seusianya berbuka bersama-sama dengan sedekah dan pemberian si pemurah. Dia tidak banyak soal apabila diminta bersama anak-anak berbuka dan bersahur di surau, solat jemaah di surau, solat terawikh di surau, bertadarus di surau dan mendengar tazkirah di surau. Pada diri Pak Imam, surau ini sudah menjadi rumahnya dan isterinya juga perlu berfikiran begitu.
Pak Imam tak tahu kenapa Ramadhan yang lalu isterinya berubah laku. Terusik juga hatinya mendengar permintaan isterinya itu. Terasa juga dirinya serba kekurangan – apakah selama ini dia tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa yang sempurna? Lantas buat beberapa hari, Pak Imam berdoa dan bermunajat, memohon ampun dan maaf dari Allah atas mana-mana perbuatan dan tingkahlakunya yang dianggap isterinya sebagai mengabaikan tanggungjawab. Buat beberapa hari dia berfikir, apakah dengan tidak berbuka dan bersahur bersama-sama di rumah, solat jemaah di rumah, berterawikh jemaah di rumah, bertadarus di rumah dan memberi tazkirah di rumah dianggap sebagai mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa yang baik?
Pak Imam tidak mendapat jawapannya tetapi dia hanya menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Biarlah Allah yang menentukan betul salahnya perbuatannya selama ini. Jika betul, dia mohon supaya Allah memanjangkan usianya untuk meneruskan kehidupan ini dengan sebaiknya, tetapi andai salah, dia berharap agar dosanya diampunkan Allah dan diberikan petunjuk untuk membetulkan segala-galanya.
Buat sehari dua, Pak Imam cuba menunaikan permintaan isterinya. Dia berbuka dan bersahur bersama-sama di rumah, solat jemaah di rumah, berterawikh jemaah di rumah, bertadarus di rumah dan memberi tazkirah di rumah. Pak Imam harap kali ini isterinya puas hati dan gembira permintaannya tercapai. Bukan tak pernah Pak Imam berbuka di rumah tetapi dia tidak melakukannya selengkap ini. Biasanya dia berbuka sahaja di rumah, yang lainnya di surau.
Tetapi isterinya rupa-rupanya belum puas. Dia bukan hanya mahu Pak Imam berbuka dan bersahur bersama-sama di rumah, solat jemaah di rumah, berterawikh jemaah di rumah, bertadarus di rumah dan memberi tazkirah dirumah untuk satu hari, tetapi sehingga ke penghujung Ramadhan. Kalau boleh biarlah bertakbir Aidilfitri juga di rumah.
Pada Pak Imam, itu sudah melampau. Tugas sebagai Pak Imam bukan sekadar imam di rumah, tetapi ini imam kariah. Dia punya tanggungjawab di surau. Dia diberi amanah dan dia wajib melakukannya. Berdosa jika dia meninggalkan salah satu dari tuntutan tugasnya apatah lagi ia untuk kepentingan sendiri, kepentingan keluarganya sendiri.
Kali ini Pak Imam menggunakan diplomasi sepenuhnya. Dia tidak boleh berkompromi atas tugasnya kali ini. Mana boleh setiap hari dia berbuka dan bersahur bersama-sama di rumah, solat jemaah di rumah, berterawikh jemaah di rumah, bertadarus di rumah dan memberi tazkirah di rumah. Bilal sendiri sudah bertanyakan kehilangannya sejak dua hari yang lalu, inikan pula mahu diperpanjang sehingga akhir Ramadhan.
Isterinya tetap enggan dan Pak Imam terpaksa beri kata dua dengan lembut. Airmata isterinya ternyata tidak mampu melembutkan hatinya. Pak Imam hanya mampu memujuknya dengan tazkirah dan petikan ayat al-Qur'an dengan harapan hati isterinya itu lembut dan tidak meminta lagi dia berbuat sedemikian rupa. Biarpun sedih, isterinya menerima sahaja.
Satu perkara yang menyebabkan Pak Imam pelik ialah isterinya menjadi begitu baik dan manja dalam melayannya kali ini. Bukannya isterinya itu tidak baik tetapi layanannya kali ini lain dari yang lain. Cukup bagus sekali, hinggakan Pak Imam merasa kekok. Pernah dia terfikir sama ada isterinya ini buang tabiat, tetapi cepat-cepat dipinggirkan fikirannya itu. Dia tahu isterinya cukup baik dan mahu masuk dari mana-mana pintu Syurga, tetapi permintaannya kali ini sukar di mengertikan.
Sesudah dua hari, Pak Imam kembali semula ke surau. Para jemaah lega melihatkan Pak Imam. Bila ditanya kemana dia pergi, Pak Imam menjawab yang dia mempunyai urusan bersama keluarga. Dia berbuka dan bersahur di surau, solat jemaah di surau, solat Terawikh di surau, bertadarus di surau dan mendengar tazkirah di surau. Isterinya tiada bantahan malah menurutinya ke mana sahaja dia pergi. Sekali lagi Pak Imam pelik. Jarang juga isterinya menurutinya sepanjang waktu. Kadangkala tidak bersahur di surau malah jarang berbuka di rumah. Biasanya sekadar menemani anak-anak. Biarlah, fikir Pak Imam. Mungkin kerana anak-anak sudah besar, isterinya itu merasa sunyi dan mahu beramal ibadat lebih kepada Allah.
Rupa-rupanya permintaan isterinya supaya Pak Imam berbuka puasa di rumah, solat jemaah dirumah, berterawikh jemaah di rumah dan memberi tazkirah di rumah adalah permintaan terakhir isterinya. Belum pun sempat Pak Imam bertakbir Aidilfitri di surau, anak bongsunya terkocoh-kocoh menghampirinya. Memang Pak Imam awal ke surau hari ini, dan isterinya bakal menuruti kemudian bersama anak-anak dan orang perempuan seusianya.
Tetapi ada sebuah kereta lain yang turut menuruti mereka, dan kereta itu menyebabkan isteri Pak Imam terbaring berlumuran darah di tepi jalan. Segera Pak Imam meninggalkan jemaah yang sedang bersiap untuk bertakbir, berlarian menuju ke jalan. Alangkah terkejutnya dia bila melihat isterinya terbujur kaku bersama telekung yang sudah siap dipakainya.
Patutlah pagi tadi isterinya beria-ria memohon ampun dan maaf daripadanya, meminta agar dihalalkan segala makan minumnya sejak dari mereka berkahwin, segala perbuatan dan tutur katanya yang menyinggung Pak Imam serta mana-mana permintaannya yang melampau.
Pak Imam mamangku jenazah isterinya dan pada masa yang sama takbir Aidilfitri kedengaran. Dia sedih namun tiada air mata yang keluar, kerana dia tahu, isterinya pergi dalam keadaan yang suci dan bersih. Kini, barulah Pak Imam tahu mengapa Ramadhan yang lalu isterinya mahu supaya dia berbuka puasa di rumah, solat jemaah di rumah, berterawikh jemaah di rumah dan memberi tazkirah di rumah. Itu adalah permintaan terakhir isterinya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Ungu Violet © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute