Monday, November 21, 2011

HARIMAU MALAYA TAHNIAH !!!!!

Syabas buat pasukan kebangsaan,Harimau Malaya atas kejayaan menumpaskan pasukan lawan
( Garuda-Indonesia )


share sikit petikan berita dan gambar2 dpd Berita Harian &  Utusan Malaysia  :

Berita Harian

Malaysia rakam rekod bersih tanpa kalah di Jakarta

SKUAD bola sepak gah memenangi 'ibu segala pingat', malam tadi apabila kesebelasan Harimau Muda tampil garang mempertahankan mahkota kejuaraan buat kali kedua berturut-turut menewaskan tuan rumah, Indonesia 4-3 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 sehingga masa tambahan.
Sorakan dan ejekan lebih 100,000 penyokong Garuda Muda jelas gagal menyekat impian besar Ong Kim Swee dan anak didiknya yang hadir berbekal mental kuat mengatasi sorak gempita di Stadium Gelora Bung Karno untuk memaksa lawan menggigit jari terlepas pingat emas paling bernilai di Sukan SEA di laman sendiri.
Keletihan kami sepanjang saingan bukan kerana lawan kuat tapi perjalanan ke stadium temu Indonesia peringkat kumpulan dan final... keletihan ini berbaloi. - Ong Kim Swee, Ketua Jurulatih Harimau Muda
Kebetulan, kali terakhir Malaysia berjaya mempertahankan gelaran bola sepak secara berturut-turut adalah di Jakarta pada 1979 ketika menewaskan Indonesia 1-0 hasil jaringan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Kemenangan itu membantu kontinjen negara mengutip keseluruhan 59 emas malam tadi selepas skuad berbasikal trek menyumbang empat dan satu daripada renang berirama.

Utusan Malaysia

Syabas Malaysia

 

 

JAKARTA - Tiada apa yang lebih sempurna daripada merangkul pingat emas Sukan SEA; ‘ibu’ kepada segala pingat sebagai penutup tirai temasya kali ke XXVI buat kontinjen Malaysia.
Setelah berjuang habis-habisan di Stadium Gelora Bung Karno untuk lebih dua jam, skuad Harimau Muda kebanggaan kita memakbulkan harapan setiap rakyat Malaysia yang menyaksikan kelibat mereka di kaca televisyen malam tadi.
Tidak mengapa kita ketinggalan pada awal permainan.
Wira-wira kita tidak mengalah, sebaliknya mereka bangkit dengan segera untuk menyamakan kedudukan dan seterusnya mengawal permainan, sekali gus membuatkan kira-kira 100,000 penyokong fanatik tuan rumah terdiam.
Bermula dari saat itu, perlawanan berlangsung agak seimbang menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencari gol pada waktu sebenar permainan, malah 30 minit tambahan pun tidak berkesudahan.
Setiap kali penjaga gol sensasi kita, Khairul Fahmi Che Mat diperlukan, dia tidak pernah mengecewakan dan semalam dia membuktikan keupayaannya sekali lagi, komitmen yang sering kali ditunjukkannya apabila dengan tenang menyelamatkan sepakan penalti Ferdinan Sinaga.
Dan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar; salah seorang anggota skuad yang menjuarai temasya Vientianne dua tahun lalu melaksanakan tugasnya untuk mempertahankan pingat emas buat kali pertama sejak 1979 yang mana ketika itu turut dilakar di Jakarta.
Tangisan para penyokong Laskar Garuda adalah difahami. Bukan saja tewas di bumi sendiri, malah sudah dua dekad tidak mengecapi kejayaan sejak mereka menang di Manila 1991.
Indonesia mungkin telah meraih 170 pingat emas (setakat pukul 12 tengah malam semalam dan jumlah itu dijangka terus bertambah pada hari terakhir hari ini), namun terlepas pingat emas bola sepak sudah tentu sesuatu yang mendukacitakan.
Andai mampu merangkul 200 emas sekali pun, luka mereka tidak akan terubat
Bagi kontinjen negara pula, sasaran baru 60 pingat emas yang diletakkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dua hari lalu sepatutnya dalam jangkauan jika petinju kita, Muhamad Farkhan Mohd. Harun mampu meraih pingat emas ke-59 kita.
Malangnya, dia ditumbangkan secara kontroversi oleh peninju tuan rumah, Alex Tatontos di Palembang.
Terdahulu Malaysia, dipimpin Fatehah Mustapa, membuktikan kejaguhannya dalam arena berbasikal trek yang tiada tolok bandingnya dengan menambah empat pingat emas di Velodrom Ramawangun. Begitu juga dengan gadis- gadis kolam renang kita yang menyapu bersih kesemua lima emas dipertandingkan dalam sukan renang berirama di Pusat Akuatik Kompleks Jakabaring.
Kontinjen negara dijangka tidak akan menambah pungutan pingat emas untuk menggenapkan angka 60 kerana hanya tinggal sukan paragliding yang bukan merupakan sukan harapan pada hari terakhir temasya .
Ia sudah lebih daripada memadai, syabas diucapkan!

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Ungu Violet © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute